Friday, February 22, 2013

Dasar Kerajaan "Populariti" Bukan Nilai Kepimpinan Yang Kita Cari





Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga penulisan ini sampai ke telinga yang layak mendengar dan sedia menerima kritikan telus dari saya, insan yang baru sahaja masuk dekad ke-2 dalam lembaran kehidupan.

Politik bukan perkara asing dalam masyarakat bahkan ia adalah asas kepada pembentukan sesebuah masyarakat agar berkembang menjadi tamadun. Asalnya kita hidup tanpa organisasi tapi arus masa membawa manusia hidup dengan nilai-nilai yang lebih terhormat . Maka wujudlah organisasi dalam sesebuah masyarakat untuk menjadi jentera penggerak kepada ketemadunan manusia. Asas dalam sesebuah kelompok masyarakat mestilah mempunyai seorang Penghulu atau Ketua bagi mengetuai kumpulan agar kelangsungan masyarakat itu dapat bergerak dengan baik dan sistematik. Maka, wujudlah sebuah terma yang dipanggil Politik . Defini secara literalnya Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan.

Tidak dapat tidak berbicara konteks dunia semasa, Politik digambarkan sebagai sebuah kumpulan yang bergerak mengikut kepartisan lalu membentuk sebuah kepimpinan di dalam negara. Sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa, negara kita mempunyai sistem politik tersendiri yang sangat unik berbanding negara-negara luar. Konsep asasnya negara kita mengamalkan Federalism iaitu negara berasaskan Persekutuan. Perkara yang lebih unik adalah kita mengamalkan Constitutional Monarchy di bawah Federalism ini. Apa itu constitutional monarchy? Ianya adalah suatu konsep Raja Berpelembagaan yang tidak ada diguna pakai dalam negara lain. Gambaran ini memberi makna yang jelas bahawa sistem beraja di negara kita mestilah mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang utama perundangan di negara ini.

Dalam konteks yang lebih dekat dengan rakyat, negara Malaysia mengamalkan amalan demokrasi seperti mana yang diperkenalkan oleh Barat. Lantaran itu, bagi mendokong aspirasi Demokrasi ini, sebuah proses yang dikenali sebagai Pilihan Raya dijadikan medan pertembungan bagi poilitik yang berasaskan kepartisan ini bertanding dalam meraih undi dan hati rakyat . Perkiraanya cukup mudah, majoriti akan mengatasi minoriti . Ini bermakna, mana-mana parti yang berjaya meraih undi 2/3 hati rakyat akan mendapat kerusi di Parlimen mahupun ADUN . Perkiraan yang sama juga dinilai untuk melihat Parti mana yang layak untuk memerintah Negara berdasarkan undi majoriti.Umum mengetahui, Tsunami Politik yang berlaku pada PRU 12 telah memberikan kesan yang cukup signifikan kepada pergerakan Politik Malaysia kerana membuka mata Barisan Nasional bahawa Rakyat sudah tidak mahu duduk di bawah pemerintahan BN. Hasilnya, sepanjang 5 tahun pentadbiran kerajaan UMNO Barisan Nasional, pelbagai langkah telah diambil dan beberapa dasar negara telah diubah disamping meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan demi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Dato Seri Najib Tun Razak.

Walaubagaimanapun, lain pula ceritanya yang berlaku dalam kalangan anak muda serta barisan alternatif pembangkang kerana pergerakan mereka begitu proaktif dan aktif dalam mencapai sasaran utk menawan Putrajaya sekaligus mengubah polimik politik yang selama ini menghantui negara kita. Maka, pelbagai plan dan dasar telah dibentuk dalam Pakatan Rakyat yang menggabungkan 3 parti iaitu Keadilan Rakyat, Pas, dan DAP. Mereka membongkar rahsia-rahsia korupsi kerajaan dan membawa solidariti Revolusi dalam jiwa rakyat Malaysia untuk bangkit menentang kezaliman serta penipuan Barisan Nasional yang selama ini telah menjadi dalang dalam menghimpit Rakyat.

Lantaran itu, sepanjang 5 tahun ini suara-suara mahasiswa, belia, serta rakyat Malaysia kesuluruhannya lantang menuntut Kerajaan Malaysia untuk mengembalikan hak-hak mereka serta menghapuskan budaya politik kotor Barisan Nasional. Perkara ini terbukti apabila wujudnya Bersih 1.0, Bersih 2.0, dan Bersih 3.0 yang dibanjiri puluhan ribu masyarakat di seluruh Negara bahkan turut diraikan di luar negara sebagai tanda protes kepada kepimpinan sedia ada. Tidak cukup dengan itu, beberapa gerakan lain seperti Gerakan Mansuh ISA, Lynas, Himpunan Hijau, Mansuh AUKU, serta Gerakan Tuntutan Royalti turut mendapat sambutan masyarakat sebagai protes terhadap kepimpinan sedia ada. Kemuncak untuk semua Protes ini adalah di Himpunan Rakyat yang diadakan di Stadium Merdeka sebagai himpunan terkahir sebelum menghadapi PRU -13.

Senario ini memberikan gambaran yang sangat jelas bahawa pertarungan Politik Malaysia berada dalam keadaan yang sangat kritikal , dan rakyat sudah berani bersuara kerana kefahaman mereka sudah mula terbuka tentang keadaan Politik sebenar di negara kita. Walaupun Bersih mendapat tentangan dan kritikan hebat oleh barisan pro-kerajaan namun, realiti yang lebih penting untuk kita sama-sama sedari adalah kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional sudah tidak sekuat dahulu.

Kesannya, suara kebangkitan rakyat ini telah menggegar kedudukan Barisan Nasional sebagai parti yang masih lagi diberikan kepercayaan untuk mentadbir negara buat masa ini. Protes kebangkitan rakyat ini nyata telah memberikan impak kepada kepimpinan sedia ada untuk melakukan sesuatu demi mejamin kelangsungan periuk nasi mereka selaku pemimpin yang berwibawa. Maka, senario politik di negara ini telah berubah menjadi sebuah Politik Propaganda dan Populariti semata-mata demi meraih undi. Mereka ingin menunjukkan kepada rakyat bahawa BN sudi mendengar suara rakyat dan sedia untuk lakukan perubahan demi rakyat tercinta. Lantaran itu, agenda mereka bermula dengan menghapuskan Akta Polis yang kononnya memberi kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun, namun akhirnya ia digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2010 yang pada dasarnya ianya masih sama untuk menyekat kebebasan berhimpun rakyat Malaysia. Kemudian kerajaan menghapuskan ISA sebagai bukti kerajaan peka dan cakna bahawa ianya tidak boleh diguna pakai kerana mencabuli hak asasi manusia. Namun sekali lagi ini adalah mainan Populariti kerajaan kerana memperkenalkan pula SOMMA untuk menggantikan ISA yang dasarnya juga sama untuk menangkap sesiapa sahaja yang didapati bersalah tanpa diberitahu sebab penangkapan dan ditahan tanpa bicara. Inilah mainan Propaganda yang sangat mengecewakan hati rakyat kerana menunjukkan kepimpinan beliau tidak telus dalam mengangkat suara rakyat bahkan sengaja memperlekeh kebangkitan ini.

Menjelang PRU yang semakin dekat, Barisan Nasional di bawah kepimpinan Najib dilihat sebagai parti yang bergerak di bawah dasar "Populariti" kerana memperkenalkan skim-skim yang berasaskan 1 Malaysia untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa "Kerajaan Memberi Rakyat" pelbagai perkara, maka "Kami Parti Yang Prihatin".  Ini adalah konsep populariti yang saya kira BN wajar hentikan. Walaubagaimanpun, sebagai rakyat marhein, saya dan anda semua wajib bersyukur di atas segala pemberian ini dan gunakannya sebaik mungkin kerana ini adalah  rezeki.

Namun, untuk menilai dasar pemberian ini, kita perlu rasional dan akur bahawa ini memang konspirasi populariti.

Ayuh kita lihat satu persatu apa yang diberikan oleh Kerajaan hari ini iaitu Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) , Baucar Buku 1 Malaysia ( BB1M), Kad Siswa 1 Malaysia (KS1M), Bantuan Lesen 1 Malaysia ( BL1M ), Kedai Rakyat 1 Malaysia dan sebagainya. Baiklah, sebagai rakyat saya menyambut baik usaha kerajaan dalam memberikan pelbagai skim-skim dan bantuan kepada golongan sasaran ini. Namun, sedar atau tidak ianya hanya menampal nama 1 Malaysia dan diubah dalam bentuk yang lebih Glamour dan Berjenama.

BR1M misalnya adalah pemberian bersifat one-off iaitu hanya sekali bagi sahaja. Kerajaan memperuntukkan RM 500 ringgit utk setiap keluarga yang pendapatan isi rumah di bawah RM3000 ringgit. Sedar atau tidak ini hanyalah mainan politik,kerana pemberian ini bersifat populariti dan bukan untuk menjaga kebajikan secara telus. Geografi setiap penduduk adalah berbeza, ada yang tinggal di bandar dan ada juga di kawasan pedalaman. Perbezaan geografi ini juga membawa kepada perbezaan kos sara hidup dan juga ekonomi setempat. Sudah tentulah golongan yang tinggal di bandar mempunyai kos sara hidup yang tinggi berbanding mereka yang tinggal di luar bandar . Kos sara hidup juga bertambah sekiranya sudah berkahwin dan mempunyai anak yang ramai. Jadi adakah pemberian BR1M ini sebenarnya ingin membantu rakyat atau sekadar menunjukkan kerajaan telah beri BR1M berkmakna kerajaan prihatin ? Ini adalah mainan politik yang sengaja dibuat agar mengaburi mata rakyat bahawa pemberian ini sendiri tidak berjaya membela nasib rakyat yang dihimpit kesusahan. Bukanlah niat saya ingin meperlekeh usaha kerajaan, namun ini lah realiti yang kita sama-sama hadapi hari ini. BR1M ini sekadar ingin memancing undi rakyat. Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, perkara yang lebih penting untuk diberi penekanan adalah usaha-usaha yang bersifat jangka masa panjang dan mampu membela rakyat yang miskin daripada ditindas dalam dunia penuh persaingan hari ini.

Oleh itu, sebagai rakyat biasa, pandangan saya cukup mudah. Apabila kita mengkaji semula sejarah kepimpinan Saidina Umar Aziz , beliau memberi penekanan yang cukup tegas terhadap institusi zakat dalam pentadbiran negara. Saya percaya, sekiranya kerajaan kita memberikan tumpuan yang tegas untuk membangunkan institusi zakat di negara ini, dan menubuhkan lagi badan-badan yang bertanggungjawab untuk menjana kelangsungan pemberian zakat ini, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara yang benar-benar mampu membasmi kemiskinan. Kita percaya, pemberian wang melalui BR1M itu cuma bersifat sementara, jadi usaha sama kerajaan untuk membangunkan institusi zakat adalah satu bentuk pelaburan yang melangkaui masa depan . Zakat jangan disalah tafsir untuk diberi kepada golongan miskin semata-mata, malahan dalam konteks semasa wang zakat boleh diagihkan untuk memberi bantuan belajar, wang untuk mengerjakan haji dan umrah bagi yang tidak mampu, untuk pembangunan masyarakat setempat, dan juga pelbagai perkara untuk kebaikan Ummah. Hatta zakat juga wajar digunakan untuk menaja perkahwinan golongan muda yang memerlukan. Ini lah sistem pentadbiran yang telus dalam membantu rakyat kerana ianya diberikan mengikut keperluan .Bukan seperti BR1M yang diberi sahaja secara pukul rata tanpa mengira faktor geografi dan isi rumah . Ini lah pemberian berbentuk Populariti yang tidak memberi kesan jangka masa panjang malahan menggalakkan pembaziran.

Seterusnya apabila kerajaan kononnya menunjukkan keperihatinan kepada pelajar dengan memperkenalkan Baucar Buku 1 Malaysia dan Kad Siswa 1 Malaysia. Ini juga adalah pemberian untuk meraih Populariti kerana sebenarnya ianya hanyalah pemberian yang dijenamakan dengan nama 1 Malaysia. Tahukah anda pemberian Kad Siswa 1 Malaysia ini tidak memberi manfaat pun kepada pelajar. Bahkan ianya hanya menolak cukai-cukai dalam pembelian perkara-perkara tertentu yang kebanyakannya bukanlah kepentingan Siswa. Apabila dikaji, penggunaan kad siswa sekadar menolak sekitar 40-60 sen dalam pembelian sesuatu barang yang kadang-kadang tidak diperlukan pun tapi kerajaan telah menghebahkan berita kononnya pelancaran Kad Siswa ini benar2 membantu pelajar. Sungguh ini hanyalah Propaganda. Pengenalan Kad berjenama 1 Malaysia ini juga satu bentuk pembaziran kepada negara kerana apa bezanya dengan status kita sebagai pelajar yang sudah pun mempunyai Kad Matrik Pelajar ?  Bukankah ini bukti kita masih belajar dan perlu mendapat hak-hak istimewa sebagai pelajar ? Ini lah yang sebenarnya trick dan helah kerajaan untuk mengalihkan pandangan kita agar kita nampak kerajaan ini cakna terhadap kebajikan pelajar dgn hanya memperkenalkan Kad Siswa 1 Malaysia.

Oleh itu, sebagai seorang pelajar , pandangan saya cukup mudah, sepatutnya jika kerajaan ini ikhlas dalam menjalankan amanah untuk kebajikan pelajar, tidak perlulah untuk membuat pembaziran dengan perkenalkan Kad Siswa 1 Malaysia yang ternyata menipu kami sebagai pelajar. Saya sambut baik pemberian Baucar Buku 1 Malaysia yang setakat ini memberi manfaat kepada saya. Namun, untuk lebih telus dan mengangkat hak kebajikan mahasiswa, saya cadangkan agar kerajaan membuat suatu dasar baru yang memberikan mahasiswa ini kelebihan dan speciality dalam hal2 tertentu. Status semasa hari ini memang memberi banyak kelebihan kepada pelajar, namun dasar yang ada dalam kerajaan ini sering kali diketepikan oleh pihak2 syarikat yg lain. Oleh itu jika kerajaan memperkasakan dasar, dan tekad untk mengurangkan beban pelajar, ianya benar2 menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada pelajar. Apa yang ingin saya katakan, sekiranya dasar ini dibuat, sesiapa sahaja yang masih belajar boleh mendapatkan kelebihan seperti membeli buku yang lebih murah dgn potongan 30% , boleh menggunakan transport awam dgn percuma, dikecualikan daripada semua cukai kerajaan, malahan untuk membuat lesen memandu pun berhak mendapat harga yang murah. Kesemua ini hanya boleh diakses sekiranya mempunyai Kad Matrik Pelajar yang menjadi bukti kita masih pelajar. Maka, nampaklah keberkesanannya berbanding memperkenalkan Kad Siswa 1 Malaysia yang akhirnya fungsinya sekadar meraih Populariti.

Bercakap soal Kedai Rakyat 1 Malaysia, hakikat sebenarnya harga yang ada di jual di KR1M ini sama sahaja seperti kedai lain, malahan dalam sesetengah barang, harganya lebih mahal daripada kedai biasa. Ini adalah hasil pemantaun dan survey yg saya buat sebelum sesuka hati menulis di dalam blog. Maka, sebenarnya apakah hasrat dan niat kerajaan memperkenalkan KR1M ini ? Ini lah yang saya katakan, kerajaan memperkenalkan suatu perkara semata-mata untuk menampakkan mereka membantu, namun pada hakikatnya ianya masih sama. Ini semua adalah suatu helah yang diberi jenama 1 Malaysia.

Hari ini lambakan bentuk bantuan yang dijenamakan dgn nama 1 Malaysia, walhal pada dasarnya untuk membantu rakyat , Kerajaan perlu mengkaji struktur harga dan ekonomi pasaran. Memberi dan terus memberi bantuan2 yang bersifat sementara ini akan menunjukkan kerajaan sebuah parti yang tidak ada misi dan visi . Sebagai rakyat marhein, saya tidak menolak pemberian ini namun, saya yakin kerajaan perlu lebih komited dalam merangka bentuk-bentuk kebajikan untuk memberi kesan kepada hidup masyarakat. Hari ini kerajaan beri BR1M , RM 500.. tahun depan naik RM 1000.. tapi kos sara hidup meningkat 3 kali ganda. Jadi di manakah relevannya pemberian ini ? Sedar atau tidak RM 500 itu boleh dihabiskan dalam masa satu hingga dua minggu sahaja sekiranya duduk di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Oleh itu, saya berasa, ini semua adalah mainan kerajaan "populariti" yang perlu dihentikan.

Saya tidak kira haluan parti mana yang akan naik menjelang PRU 13 nanti. Namun saya harap, sekiranya UMNO Barisan Nasional masih lagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah, moleklah kiranya BN merombak semula dasar pemerintahan mereka dan hentikanlah sistem pentadbiran yang bersifat Populariti ini. Saya tidak nampak langsung hala tuju pentadbiran Najib Tun Razak yang seolah olah kerjanya mendapatkan Populariti semata-mata. Mungkin molek juga jika diberi peluang kepada Muhyiddin Yassin untuk memerintah. Sekiranya PR yang bakal naik memerintah, saya juga sangat berharap agar PR telus dan ikhlas dalam menunaikan janji serta manifesto yang mereka lemparkan. Semoga kepercayaan rakyat terhadap PR tidak akan dikecewakan.

Hari ini gambaran Politik negara menampakkan perebutan kuasa pemerintahan yang sangat kuat. Namun, rakyat perlu bijak memikirkan yang terbaik untuk rakyat kerana kita adalah rakyat yang perlu diberi keutamaan oleh pemerintah. Sekarang bukan zaman dan masa kita taksub pada Parti, tetapi zaman kita untuk menilai siapa yang lebih layak memerintah. Jika 30 - 40 tahun dahulu memang kita semua bersatu di bawah UMNO namun hari ini, kita perlu lebih telus menilai siapa yang lebih layak memerintah. Tidak semestinya kita perlu menjadi penyokong yang Fanatik, tetapi berfikirlah dengan lebih rasional dan matang. Ini semua adalah hak individu untuk menilai, maka jadilah individu yang berani menyahut revolusi dan reformasi ! PRU - 13 menjadi titik tolak perubahan negara. Dasar Kerajaan "Populariti" Bukan Nilai Kepimpinan Yang Kita Cari.

Mohon maaf penulisan ini menyinggung perasaan mana-mana individu, namun nilailah sendiri fenomena Politik semasa yang berlaku hari ini. Penilaian setiap orang mungkin berbeza, namun atas dasar rasional, fikirkanlah yang terbaik buat negara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...