Monday, October 14, 2013

Penggunaan Kalimah "Allah" di Malaysia Dari Sudut Perundangan dan Norma Masyarakat





MENTERI DALAM NEGERI & 8 LAGI V 
TITULAR ROMAN CATHOLIC ARCHBISHOP OF KUALA LUMPUR

Setelah beberapa fasa perbincangan Isu Kalimah Allah ini berlangsung sejak beberapa yang lalu, maka hari ini Mahkamah Rayuan Putrajaya telah memutuskan bahawa Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya The Herald .Keputusan itu dibuat tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Keputusan ini pastinya melegakan hati umat Islam yang ada di dalam negara ini, dan ia merupakan mesej moral kepada semua pihak bahawa dalam isu-isu yang melibatkan Aqidah serta privilege Islam, ianya bukan suatu perkara remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja.

Keputusan ini adalah sama sekali berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memihak kepada Penganut Agama Kristian. Perbezaan keputusan ini juga menjadi punca mengapa penganut agama kristian tidak berpuas hati dengan keputusan di Mahkamah Rayuan. Namun, ianya bukan isu tidak puas hati, ianya adalah isu keadilan dan kebenaran. Di dalam institusi Mahkamah, keputusan Mahkamah yang lebih tinggi akan mendahului keputusan mahkamah yang lebih rendah, maka secara perundangannya, keputusan Mahkamah Tinggi tidak diterima.

Pada penulisan kali ini, saya tertarik ingin mengajak pembaca memahami konteks sebenar penggunaan kalimah Allah dalam negara kita. Benar, setiap pihak mempunyai pandangan masing-masing yang pastinya berbeza. Tambahan pula, ada sesetengah pihak yang memandang isu ini dari sudut Politik, maka ianya kelihatan lebih terbuka dan tidak menguntungkan kita sebagai orang Islam.

Ramai dalam kalangan kita hari ini membuat perbandingan dengan Negara Arab, yang mempunyai latar belakang agama yang terdiri daripada Islam, Kristian, dan sebagainya. Ya, benar di sana kalimah Allah ini bebas digunakan oleh mana-mana agama sekalipun. Ianya adalah bahasa asal mereka selaku orang Arab. Sama juga dengan kalimah "Assalamualaikum". Di dalam norma masyarakat Arab ia adalah perkara biasa untuk diucapkan oleh sesiapa sahaja. Ia sekadar ucapan Selamat Sejahtera yang membawa maksud Hai atau Hello.

Namun, perbandingan semudah ni tidak boleh dilakukan di negara kita. Persoalannya kenapa?

Dalam membuat perbandingan, kita perlu mengambil kira isu Norma masyarakat serta ketemadunan mereka di dalam negara tersebut. Di negara Arab, sejak ratusan tahun lamanya, mereka sudah lama menggunakan kalimah Allah sebagai sebutan biasa dan harian sama ada mereka adalah Islam mahupun bukan Islam. Kebiasaan yang wujud ini sekaligus menjadikan masyarakat di sana tiada masalah dalam penerimaan ini, dan umat Islam di sana jelas memahami perbezaan antara kalimah Allah yang digunakan oleh bukan Islam dan orang Islam. Tambahan pula, negara Timur Tengah adalah pusat kegiatan dan penyebaran ilmu Islam yang masyhur di dunia. Mereka juga mampu memahami Al-quran dan Hadith dengan mudah kerana itu adalah bahasa mereka selaku masyarakat Arab.

Namun, ianya jauh berbeza dengan Malaysia. Sejak berdekad lamanya, kita hidup sebagai masyarakat berbilang kaum yang menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan. Malahan, kita sendiri jelas bahawa majoriti penduduk di dalam negara ini adalah Islam. Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Memang terdapat perbahasan berkenaan status negara kita sama ada ianya adalah Negara Islam atau tidak. Maklumlah, setiap pengamal dan penganalisis undang-undang mempunya kaedah tafsiran yang berbeza-beza. Namun, kita semua perlu bersetuju bahawa Islam adalah agama rasmi Kebangsaan dan agama-agama lain masih boleh diamalkan di dalam negara kita seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, Perlembagaan tidak membenarkan mana-mana agama yang bukan Islam untuk menyebarkan fahaman agama mereka kepada penganut agama Islam sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Ini bermakna, dalam kebebasan mengamalkan ajaran dan agama mereka, agama lain seperti Kristian, Hindu, atau Buddha adalah dilarang sama sekali menyebarkan dakyah kepada umat Islam. Maka penilaian pertama kita adalah dari segi kedudukan agama Islam serta majoriti penganut Islam yang ada dalam negara kita.

Bila kata berkenaan majoriti, ia bukanlah bermakna kita mewujudkan diskriminasi terhadap golongan minoriti, namun penilaian majoriti dan minoriti ini penting dalam membuat keputusan yang lebih adil dan sesuai mengikut populasi serta demografi dalam negara kita.

Penilaian kedua pula adalah dari segi kepentingan agama. Kita sedia maklum, di semenanjung Malaysia atau mana-mana penganut Krisitian sekalipun, rata-ratanya menggelarkan Tuhan mereka sebagai "God" dan bukannya Allah. Pendek kata, sebut sahaja "God" maka tidak ada seorang pun penganut Kristian yang akan menganggap "God" itu sebagai sesuatu yang lain. Begitu jugalah penerimaan masyarakat Islam, sebut sahaja Jesus atau God, semua umat Islam pun tahu bahawa ianya merujuk kepada Tuhan penganut Kristian. Maka, dari segi kepentingan agamanya, penggunaan perkataan "God" ini tidak pernah merugikan penganut Kristian dan Islam. Ianya bebas digunakan oleh Kristian di dalam pengamalan agama mereka, malahan ia tidak akan sesekali mengelirukan Umat Islam dalam negara ini.

Norma masyarakat kita dari dahulu lagi menerima penggunaan God atau Jesus adalah merujuk kepada Tuhan penganut Kritian, manakala penggunaan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan penganut Islam. Sepatutnya norma ini telah menjadi sesuatu yang tidak akan dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana tidak wujud sebarang bentuk diskriminasi atau jurang yang menghalang kedua-dua agama untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Walaubagaimanapun, sejak beberapa tahun yang lalu, isu penggunaan kalimah Allah ini menjadi kecoh dan hangat diperkatakan dek kerana Gereja Katolik ingin menggunakan kalimah ini di dalam amalan keagamaan mereka.Bukan itu sahaja, mereka juga ingin memasukkan penggunaan kalimah Allah ini di dalam kitab Bible dan di dalam artikel keagamaan mereka.

Sebagai sebuah negara yang sudah lama hidup dalam Norma yang diterima umum, pastinya pekara ini menjadi sesuatu yang menyentuh sensitiviti penganut Islam di dalam negara kita. Ia bukan soal kebebasan agama, ia adalah isu rasional kenapa ingin menggunakan kalimah Allah di dalam kitab Bible ? adakah selama ini penggunaan God itu telah merugikan Kristian? Saya sendiri berpendapat, selama ini penggunaan God atau Jesus tidak pernah mengganggu gugat kepercayaan penganut Kristian di dalam negara ini, malahan umat Islam tidak pernah menuntut kalimah ini untuk tidak digunakan. Namun, mengapa tiba-tiba keadaan ini wujud?

Persoalan ini adalah tanda tanya terbesar di dalam benak setiap kepala penganut Islam. Dari satu sudut yang lain, mungkin kita boleh andaikan bahawa Penganut Kristian sudah mula mempercayai Allah maka pihak Gereja berusaha untuk memasukkan kalimah Allah di dalam kitab Bible sebagai langkah untuk membetulkan pemahaman penganutnya semula. Mungkin juga pada sudut yang lain, ia adalah suatu langkah untuk mengelirukan pemikiran masyarakat Islam di dalam negara ini. Namun, kedua-dua andaian ini boleh sahaja ditolak . Oleh kerana itu, adalah lebih baik kita memikirkan kesannya jika kalimah Allah digunakan di dalam Bible berbading memikiran andaian yang boleh sahaja dinafikan secara mentah-mentah.

Kita perlu lebih rasional dan realistik, hari ini umat Islam mendapat pelbagai ancaman baik dari Barat sehinggalah dari negara Matahari Terbenam . Barah yang menghantui umat Islam hari ini menyebabkan ramai penganut Islam yang hilang identiti serta jati diri mereka. Ya benar, ia adalah barah dalaman yang telah menyebabkan ribuan umat Islam yang murtad, itu belum lagi bercakap isu ajaran sesat dan perbezaan fahaman aqidah yang melampau. Ianya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila ramai lagi pemuda-pemuda dan remaja yang beragama Islam tidak tahu membaca al-quran, dan tidak tahu apa itu ajaran Islam yang sebenar. Barah dalaman ini amat menggusarkan kita semua, bahkan ianya dianggap sebagai racun paling berbahaya dalam ketemadunan masyarakat Malaysia yang majoritinya kaum Melayu. Apabila rosak akhlak dan aqidah penganutnya, maka ia juga merosakkan ketemadunan Melayu itu sendiri.

Membenarkan Kalimah Allah untuk digunakan oleh orang Kristian bukanlah suatu kesalahan di dalam Islam. Namun, di dalam Islam kita perlu menjaga maqasid Syariah yang menuntut kita untuk memelihara Islam, dan menghalang sesuatu yang boleh merosakkan serta merugikan Islam. Maka, berbalik semula kepada senario masyarakat di dalam negara kita, menyedari masalah yang berlaku terhadap umat Islam, kita sewajarnya berusaha keras menutup sebarang perkara yang boleh mengelirukan aqidah serta kefahaman Islam di dalam masyarakat di negara ini. Di dalam konteks Malaysia, ianya dianggap sebagai suatu yang tidak relevan untuk menggunakan kalimah Allah di dalam Bible bahkan tiada sebab-sebab yang kukuh untuk membenarkan penggunaan Kalimah ini.

Terdapat garis pemisah yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat berkenaan penggunaan kalimah Allah dari sudut perundangan dan keagamaan. Dari sudut agama, ya benar mana-mana agama selain Islam adalah dibenarkan utk menutur kalimah Allah, namun tidak dibenarkan untuk menyalahgunakan kalimah ini untuk mengelirukan umat Islam seperti yang diperkatakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Namun, saya melihat pandangan yang diberikan oleh Tuan Guru Hj Hadi sebagai tidak menyeluruh, dan sisi pandangnya hanya melihat kepada sisi kepentingan politik sahaja. Beliau tidak menghalang penggunaan kalimah Allah di dalam Bible kerana katanya ia tidak menjadi masalah sekiranya tidak disalahgunakan.

Saya tidak katakan kata-kata beliau itu salah, namun beliau tidak meluaskan skop perbincangan ini dalam konteks perundangan .  Kita memerlukan suatu garis panduan yang jelas berhubung penggunaan kalimah Allah ini. Sekiranya tiada undang-undang yang jelas, kita khuatir pada masa akan datang, apabila ramai masyarakat Islam yang sudah terkeliru dan tidak lagi mengenali Allah yang sebenar, maka pada ketika itulah baru semua umat Islam tercari-cari jalan penyelesaiannya.

Bayangkan, penggunaan kalimah Allah di dalam Bible adalah begini :

"...Aku adalah anak Allah" atau "...damai sejahtera dari Allah, Bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus" atau "...anak Allah yang hidup" yang semuanya merupakan terjemahan terus dari Bible terbitan Bahasa Inggeris.

Cubalah kita bayangkan kekeliruan yang akan timbul di dalam masyarakat terutamanya kepada golongan muda dan juga kepada kanak-kanak Muslim apabila terbaca iklan-iklan atau papan-papan tanda, atau Bible yang berbunyi begini. Saya tidak mahu nasi menjadi bubur, dan tidak juga mahu melihat keadaan masyarakat kita yang sudah terhantuk baru nak tergadah.

Oleh hal yang demikian, kita perlukan Undang-undang sebagai garis panduan yang mampu melindungi kepentingan masyarakat Islam dan kepentingan penganut Kristian di dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Setidak-tidaknya, kita dapat mengelakkan sebarang masalah yang boleh memecahbelahkan masyarakat di dalam negara ini pada masa akan datang. Maka jelas, keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi telah menunjukkan bahawa, undang-undang tidak membenarkan pihak Greja untuk menggunakan Kalimah Allah di dalam Kitab Bible mahupun Risalah  mereka dan ia adalah kalimah penggunaan khusus yang merujuk kepada Tuhan penganut agama Islam.

Keputusan ini langsung tidak menjejaskan kepentingan kaum Kristian di Malaysia, malahan ia juga tidak menghalang mereka untuk menjalan ritual keagamaan mereka seperti sedia kala. Sebagai orang Islam, kita diajar untuk menghormati hak keagamaan mereka. Oleh itu, seluruh penganut Kristian juga perlu menghormati keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah ini. Ia adalah keputusan yang baik untuk semua. Tidak wujud unsur diskriminasi disini, kerana kedua-dua agama masih lagi bebas menjalankan dan mengamalkan ajaran masing-masing mengikut perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Berbalik kepada isu penerimaan dan norma masyarakat, terdapat bangkangan di pihak Kristian yang mengatakan bahawa penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah Allah di dalam kita Bible sejak 100 tahun yang lalu. Jadi mereka mempersoalkan tentang hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah di dalam Bible. Keputusan Hakim di Mahkamah Rayuan pagi tadi jelas memberi kesan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak yang sudah lama menggunakan kalimah Allah di dalam Bible.

Pada pandangan saya, keputusan Mahkamah Rayuan ini adalah berasas dan perlu dihormati. Kenapa saya katakan ianya berasas? Kerana penganut Kristian di Sabah dan Sarawak adalah mempunyai kepercayaan yang sama dengan Kristian di Semenanjung. Untuk berlaku adil terhadap semua pihak, maka penggunaan kalimah Allah di dalam Bible ini perlu dilarang secara menyeluruh baik di Semenanjung mahupun di Sabah Sarawak. Sekiranya kita terus membenarkan komuniti Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah di dalam Bible, ia akan mengundang persoalan yang tidak akan selesai. Kristian di Semenanjung akan terus mempersoalkan tentang isu ini, dan menganggapnya sebagai Double Standard atau tidak adil. Pada sisi yang lain pula, kitab2 Bible di Sabah dan Sarawak yang mengandungi kalimah Allah boleh sahaja dibawa ke Semenanjung dan diedarkan tanpa kita sedari. Oleh itu, kita memandang kepada matlamat asal mengapa larangan ini wujud ? Larangan ini wujud adalah untuk menjaga maslahah dan kepentingan umat Islam, di samping menjaga hubungan dengan penganut Kristian. Penganut Kristian perlu menerima keputusan ini dan menghormati kepentingan agama Islam dalam penggunaan kalimah Allah ini.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Sekiranya, keputusan ini diterima, tidak ada pihak yang akan rugi, malahan kebebasan beragama masih lagi dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan yang dimaksudkan bukanlah mutlak, ia mempunyai limitasi yang tertentu untuk menjaga kepentingan awam. Tujuan penulisan ini adalah semata-mata untuk memberikan pandangan dari sisi pandang saya yang menilai kepada norma masyarakat negara kita yang berbilang kaum dan agama. Terima kasih.


MUHAMMAD NAIM BIN FITAL
FAKULTI UNDANG-UNDANG UKM






1 comment:

ukhti inna said...

tq 4 the info.sgt membantu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...