Friday, November 22, 2013

Undang-undang Perkahwinan di Malaysia dan Kesan Terhadap Kanak-kanak Bawah Umur






Assalamualaikum, salam sejahtera kepada pembaca.

Lazimnya beberapa penulisan saya sebelum ini berkisar tentang kebaikan kahwin muda, nikmat kahwin semasa belajar, dan kehebatan berumah tangga semasa usia muda. Namun, pada kali ini, saya tertarik untuk menulis berkenaan kupasan isu kahwin muda mengikut konteks Undang-undang yang ada dalam negara kita hari ini. Di dalam penulisan ini saya akan menceritakan beberapa masalah yang timbul dan kajian pakar berkenaan kesan berkahwin di bawah umur .

Terdapat Dua Undang-undang Perkahwinan di Malaysia :

1) Akta Enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia memperuntukkan bahawa had umur minimum perkahwinan bagi lelaki ialah 18 tahun dan bagi perempuan pula 16 tahun. Sekiranya berada di bawah Had Umur, mereka boleh berkahwini dengan kebenaran Mahkamah Syariah dan persetujuan Ibu Bapa.

2) Undang-undang Sivil iaitu Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164). Akta ini secara umurnnya memperuntukkan umur minima perkahwinan adalah 18 tahun. Namun perkahwinan dibenarkan untuk mereka yang berumur antara 16 dan 18 tahun dengan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah.

Hal ini bermakna, perkahwinan di bawah had umur mengikut undang-undang di Malaysia adalah dibenarkan sekiranya mendapat kebenaran Mahkamah. Perkahwinan di bawah Had UMUR hanya dikira jenayah sekiranya tidak mendapat kebenaran Mahkamah dan persetujuan ibu bapa . Oleh itu, sekalipun wujud undang-undang yang seolah-oleh tidak membenarkan kanak-kanak di bawah 18 tahun berkahwin, namun, ianya masih lagi longgar kerana permohonan di Mahkamah boleh dibuat oleh pihak yang ingin berkahwin.

Perkara ini terbukti kerana jumlah perkahwinan bawah umur yang tercatat menunjukkan pertambahan yang ketara :

Statistik Jabatan Agama Islam negeri turut menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus dalam permohonan perkahwinan yang membabitkan individu bawah umur antara 2008 dan 2010 di Kedah. Jabatan itu menerima 75 permohonan perkahwinan daripada individu bawah umur pada 2008, manakala pada 2009 terdapat 99 permohonan, dan 2010 sebanyak 101 permohonan. Daripada jumlah itu, 90 peratus membabitkan gadis bawah 16 tahun.

Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pula melaporkan  pada tahun 2012, terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin, di mana satu pihak, kebiasaannya bakal pengantin perempuan, adalah lebih muda berbanding usia yang dibenarkan dalam undang-undang berkahwin. Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan itu. Ini merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata dalam Kajiannya berkenaan Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia, Sehingga kini dianggarkan 16,000 remaja perempuan di bawah umur 15 tahun di negara ini mendirikan rumah tangga .

Hal ini terbukti menunjukkan peningkatan kerana pada tahun ini sahaja iaitu setakat Mei 2013,Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menerima 600 permohonan perkahwinan bawah umur, di mana 446 telah diluluskan.  

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan permohonan kahwin di bawah umur ini meningkat antaranya adalah gejala seks bebas yang berleluasa yang menyebabkan ramai kanak-kanak di bawah umur memilih untuk berkahwin setelah terlanjur bersama pasangan mereka. Antara faktor lain adalah trend atau budaya masa kini yang menunjukkan anjakan golongan muda yang ingin berkahwin di awal usia sebelum menamatkan pelajaran mereka. Yang lebih menggusarkan kerana ramai juga pelajar yang masih di sekolah menengah memilih untuk berkahwin. Dewasa ini, ada juga ibu bapa yang memilih untuk mengahwinkan anak mereka atas alasan tertentu . Kesemua perkara ini adalah antara penyumbang kepada meningkatnya jumlah permohonan perkahwinan bagi mereka yang di bawah had umur.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kajian yang perlu untuk kita ambil kira sebagai sandaran supaya kita sedar hakikat sebenar kehidupan. Memang benar di dalam Islam, perkahwinan bagi mereka yang baligh adalah sah dan Halal . Malahan ianya tidak pun berlanggar dengan hukum Syarak. Namun, kita berbalik semula kepada konteks kesihatan, emosi, dan kesejahteraan dalam kehidupan yang sepatutnya perlu kita jaga untuk memenuhi maqasid syariah .

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, kesan perkahwinan di bawah umur lebih dirasai remaja perempuan berbanding lelaki kerana mereka akan melalui proses kehamilan dan melahirkan anak.

Remaja berkahwin awal akan hamil pada usia muda dan berdepan banyak komplikasi serta masalah kesihatan sepanjang kehamilan, ketika melahirkan anak dan selepasnya. Ini sebabnya kehamilan di kalangan remaja dianggap kehamilan berisiko tinggi.

Kadar kematian ibu dan bayi juga meningkat di kalangan remaja. Ia bukan disebabkan komplikasi ketika proses kehamilan dan kelahiran saja, faktor persekitaran juga menyukarkan mereka mendapatkan kemudahan dan penjagaan kesihatan secukupnya . Kajian kesihata juga mendapati, kanak-kanak yang terlalu muda dan masih belum matang sepenuhnya akan mengalami kelahiran pra-matang, keguguran, kematian bayi dan ibu, serta ada juga keadaan yang menyebabkan kehamilan terlalu kerap.

Suatu kes dilaporkan berlaku di Yaman, seorang gadis Yaman berusia 8 tahun baru-baru ini yang meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang dialami pada malam pertama perkahwinan. Keadaan ini menunjukkan kesan fizikal yang dialami kanak-kanak di bawah umur apabila berkahwin yang akhirnya menyebabkan kematian.

Selepas tragedi itu, dilaporkan Menteri Hak Asasi Manusia Yaman, Huriya Mashoor kini berikrar mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dan akan menekankan di Parlimen bagi memastikan umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Selain daripada memberi kesan terhadap emosi, kesihatan fizikal, dan masalah kehamilan, perkahwinan di bawah umur juga menyebabkan kerencatan terhadap pendidikan dan perkembangan minda seseorang.

Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata, Sehingga kini 16,000 remaja perempuan di bawah umur 15 tahun di negara ini mendirikan rumah tangga dan kajian menunjukkan remaja yang berkahwin sebelum umur 18 tahun kehilangan empat tahun persekolahan berbanding orang yang berkahwin lebih lewat.

Kajian otak yang dijalankan Institut Kesihatan Mental Kebangsaan pada 2000, mendapati bahagian otak yang terbabit dalam kewarasan alasan, pemikiran logikal, penyelesaian masalah, membuat keputusan dan kawalan emosi akan berkembang sepenuhnya apabila mereka berumur 20 tahun. Sebelum umur 20, perkembangan otak tidak akan berlaku sepenuhnya dan menyebabkan ramai kanak-kanak berfikir di luar jangkaan dan tidak tahu jalan penyelesaian yang betul terhadap masalah yang timbul.

Perkembangan otak mereka akan terganggu kerana pada usia yang terlalu muda mereka terpaksa memikirkan rumah tangga, keluarga dan tanggungjawab sebagai ibu. Ada antara mereka yang disisihkan keluarga akibat telah terlanjur sebelum berkahwin, akibatnya mereka hilang tempat bergantung dan tidak menyambung pelajaran. Setelah tamat SPM, rata-ratanya memilih untuk tinggal di rumah menjaga anak-anak.

Kesemua ini adalah rentetan masalah yang berlaku hari ini . Mungkin ramai yang menganggap penulisan saya ini terlalu prejudis terhadap golongan yang berkahwin di awal usia, namun saya menulis berdasarkan realiti yang berlaku.

Seterusnya, Undang-undang sedia ada hari ini yang membenarkan kanak-kanak untuk berkahwin telah membuka ruang terhadap penganiayaan kanak-kanak bawah umur. Ada di antara mereka yang menjadi mangsa keadaan , dan dipaksa berkahwin atas sebab tertentu.

Di Malaysia, hubungan Seks dengan kanak2 di bawah umur 16 tahun adalah suatu kesalahan Merogol walaupun dilakukan dengan kerelaan hati. Terdapat kes-kes yang melibatkan lelaki dewasa didapati merogol kanak-kanak di bawah umur, kemudiannya berkahwin dengan kanak-kanak tersebut untuk mengelakkan hukuman, malu dan sebagainya:

Satu kes di Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini, membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol gadis berusia hampir 13 tahun, dan kemudiannya memaklumkan dia berkahwin dengan gadis itu mengikut undang-undang Syariah.

Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, 50% daripada permohonan perkahwinan di bawah had umur ini adalah disebabkan telah terlanjur dalam hubungan seks dan ingin berkahwin bagi menutup aib keluarga dan diri sendiri. Ramai daripadanya dipaksa oleh ibu bapa, dan kerana tidak tahu jalan penyelesaian yang lebih baik.

Kajian juga menunjukkan 70% daripada mereka yang berkahwin di bawah umur kerana terpaksa dan terlanjur ini akan bercerai setelah 2 atau 3 tahun. Ini berpunca daripada ketidak serasian dan ketidaksediaan mereka. Akibatnya, wanita akan terabai, pendidikan mereka terencat dan terpaksa mencari punca rezeki sendiri.

Keadaan hari ini menunjukkan gejala seks bebas semakin berleluasa. Ramai antara mereka yang telah terlanjur memilih untuk berkahwin sebagai jalan menutup aib dan malu walaupun terpasa. Walaupun pada satu sisi ianya adalah penyelesaian yang baik, namun, sebenarnya ia membuka ruang untuk kanak-kanak wanita dizalimi. Undang-undang sedia ada menyebabkan kanak-kanak terpaksa berkahwin sekiranya disuruh oleh ibu bapa mereka dan mendapat kelulusan mahkamah.


Rentetan daripada statistik yang menunjukkan pertambahan jumlah kanak-kanak bawah umur yang membuat permohonan untuk berkahwin, beberapa desakan telah dibuat oleh beberapa badan dan pihak agar Undang-undang sedia ada dalam negara kita dinilai semula dan diperketat untuk membela nasib kanak-kanak daripada diperjudi.

Malaysia, bersama-sama dengan lebih daripada 90 negara-negara lain, menerima pakai satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan perkahwinan awal atau paksa kanak-kanak, pada Majlis Hak Asasi Manusia minggu lepas. 

Memandangkan bilangan perkahwinan bawah umur yang ketara, kerajaan perlu mengkaji semula peruntukan-peruntukan dalam undang-undang Syariah, adat dan sekular yang kini membenarkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun untuk berkahwin, kata Penasihat Program United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia Saira Shameem.

Kami berdiri bersama-sama PBB bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah berbahaya kepada kanak-kanak dan anak gadis, khususnya terdedah kepada penderaan, masalah kesihatan, masalah dalam mengakses pendidikan dan kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja, kata Pegawai Undang-Undang Sister In Islam Kartina Mohd Sobri.

DAP menyarankan kerajaan agar meminda undang-undang sivil dan syariah bagi melarang perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah umur. Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, tindakan perlu segera dilaksanakan kerana pengantin kanak-kanak ini cenderung untuk tidak melengkapkan pendidikan mereka dan lebih terdedah kepada pelbagai risiko.

Secara kesimpulannya , beberapa perkara telah kita nilai daripada perkahwinan di bawah had umur ini, dari segi kesihatan, kajian saikologi, perkembangan minda, dan juga kesediaan kanak-kanak. Terdapat banyak masalah yang timbul yang akhirnya memberi kesan buruk kepada masyarakat. Pada pandangan pribadi saya, perkahwinan di usia muda tidak lah memberi masalah sekiranya, kita sudah mampu berfikir dengan waras dan matang. Namun, yang menjadi masalah adalah apabila perkahwinan itu tidak mempunyai asas yang kukuh, dan tidak diberikan pengetahuan yang betul berkenaan pengurusan kesihatan dan rumah tangga selepas berkahwin.  Pada akhirnya, kita dapati wujud lakuna dalam Undang-undang Syariah dan Sivil berkaitan  perkahwinan kanak-kanak di bawah umur yang melibatkan kanak-kanak yang masih lagi di bangku sekolah. Saya berpendapat, eloklah Undang-undang ini dikaji semula agar ianya memberi kebaikan kepada masyarakat dan generasi muda di luar sana.

Segala penulisan di dalam blog ini adalah hasil pandangan dan bacaan saya dalam beberapa artikel. 

  MUHAMMAD NAIM BIN FITAL
FAKULTI UNDANG-UNDANG UKM
















No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...