Tuesday, December 17, 2013

BOLEHKAH "MABUK DENGAN SENGAJA" MENGGUNAKAN DALIHAN DI BAWAH SEKSYEN 84 KANUN KESEKSAAN ?







Seksyen 84 Kanun Keseksaan memperuntukkan, tidaklah menjadi suatu kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang pada masa melakukannya, akalnya tidak sempurna, tidak berupaya mengetahui keadaan perbuatan itu, atau tidak tahu apa yang dilakukannya itu sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang.

Malaysia,mengguna pakai Seksyen 84 ini sebagai suatu dalihan setelah melakukan sesuatu jenayah. Sekyen 84 ini adalah suatu konsep yang diasaskan daripada kes England iaitu kes Mc’ Naghten. Sekiranya tertuduh berjaya membuktikan wujud elemen-elemen yang dikehendaki di dalam Seksyen ini, maka beliau akan dilepaskan daripada tuduhan jenayah.

 Kedua-dua prinsip ini walaupun memberikan dalihan jenayah dalam konteks yang sama, namun terdapat beberapa perbezaan di dalamnya yang perlu untuk difahami dan diperhalusi sebelum membuat sesuatu keputusan. Mc Naghten Rule melihat kepada penyakit mental semata-mata, iaitu seseorang yang mempunyai penyakit mental berpanjangan dan ianya disahkan oleh laporan doktor . Namun, Seksyen 84 menilai kepada ketidak sempurnaan akal.  Skop penilaian di bawah Seksyen 84 adalah lebih luas iaitu ia menilai kepada ketidakupayaan seseorang untuk mengetahui sesuatu perbuatan itu salah atau tidak semasa melakukan perbuatan tersebut.

Ini bermakna, jika seseorang itu mempunyai “penyakit mental” namun, pada waktu melakukan kesalahan tersebut, dia berupaya untuk mengetahui bahawa kualiti perbuatannya salah dari segi fizikal, maka dalihan di bawah Seksyen 84 ini tidak terpakai. Hal ini kerana, “penyakit mental” tidak bermakna seseorang itu tidak berupaya untuk mengetahui kualiti perbuatannya salah dari segi fizikal atau tidak. Seksyen 84 menekankan tentang keadaan minda semasa seseorang itu melakukan kesalahan tersebut.

Walaubagaimanapun,  di dalam peruntukan Seksyen 84 ini, terdapat lakuna berkenaan dengan punca ketidaksempurnaan akal . Seksyen 84 tidak menceritakan punca berlakunya ketidaksempurnaana akal tersebut, sama ada tidak sempurna akal itu berpunca daripada pemakanan, pengambilan ubat-ubatan, akibat perbuatan jahat seseorang atau sebagai satu kesan daripada tekanan perasaan.

Namun, ianya jelas di dalam Seksyen 84 bahawa apa yang ditekankan adalah keadaan minda seseorang semasa kesalahan tersebut dilakukan, dan adalah tidak penting ianya berpunca daripada apa sekalipun. Elemen di bawah Seksyen 84 menuntut untuk membuktikan bahawa seseorang itu tidak berupaya untuk mengetahui bawaha perbuatannya adalah salah atau berlawanan dengan undang-undang disebabkan oleh ketidaksempurnaan akal semasa kesalahan dilakukan. Hal ini bermakna, adalah tidak penting sama ada seseorang itu mempunyai penyakit mental berpanjangan atau tidak, atau ianya berpunca daripada apa, kerana perkara yang lebih penting untuk dinilai adalah keadaan tidak sempurna akal semasa kesalahan tersebut dilakukan.

Sehubungan dengan itu, timbul persoalan, bolehkah seseorang yang mabuk dengan sengaja menggunakan dalihan di bawah Seksyen 84 ?

Prinsip asas dalihan mabuk adalah dibawah Seksyen 85 Kanun Keseksaan yang mana terdapat dua bahagian penting yang perlu untuk diketahui. Pertama, mabuk dengan tidak sengaja  dan kedua mabuk dengan sengaja.   Mabuk dengan tidak sengaja, adalah jelas dinyatakan bahawa dalihan Seksyen 85 adalah terpakai , namun bagi seseorang yang mabuk dengan sengaja, Seksyen 85(2)(a) menerangkan dalihan mabuk adalah tidak terpakai kepada mereka.

Oleh hal yang demikian, apakah dalihan di bawah Seksyen 84 terpakai kepada mereka yang didapati mabuk dengan sengaja?

Merujuk kepada kes AG for Northern Ireland v Gallagher, tertuduh memang berniat mengambil minuman alkohol untuk melakukan jenayah. Tertuduh yang telah membuat keputusan untuk membunuh isterinya telah mengambil minuman alkohol untuk memberikannya kekuatan untuk berbuat demikian.  Mahkamah memutuskan di dalam kes ini bahawa dalihan mabuk tidak boleh digunakan kerana niat untuk melakukan jenayah sudah ada sebelum dia mabuk lagi.

Berdasarkan kepada kes tersebut, terdapat 2 elemen penting yang boleh dinilai. Pertama, mabuk dengan sengaja tidak akan memberi peluang kepada tertuduh menggunakan dalihan Seksyen 85(2)(a) . Kedua, tertuduh sengaja mengambil minuman alkohol untuk melakukan jenayah tersebut.

Oleh itu, timbul persoalan, bagaimana pula jika seseorang sengaja mengambil minuman alkohol atau apa-apa benda lain yang boleh memabukkan atau menghilangkan kewarasan akalnya, namun tidak pun berniat untuk melakukan jenayah? Adakah apabila orang tersebut melakukan jenayah, beliau tidak boleh membela dirinya menggunakan dalihan di bawah Seksyen 84?

Seksyen 85(2)(a) dengan jelas menyatakan mabuk dengan sengaja tidak boleh sama sekali diterima sebagai satu dalihan untuk melepaskan tanggungan jenayah. Namun, peruntukan Seksyen 84 sebenarnya telah memberi peluang kepada seseorang yang mabuk dengan sengaja untuk menggunakan dalihan “tidak sempurna akal”  sekiranya berjaya membuktikan bahawa pada waktu kesalah itu dilakukan, beliau tidak menyedari bahawa perbuatannya itu salah atau berlawanan dengan undang-undang.

Lakuna yang terdapat di dalam Seksyen 84 yang tidak menceritakan punca “tidak sempurna akal” yang boleh diterima pakai untuk dalihan ini, telah membolehkan seseorang yang mabuk dengan sengaja menggunakan dalihan ini namun hendaklah memenuhi elemen yang diterangkan di bawah Seksyen 84 ini.

Mabuk bukan sahaja terhad kepada pengambilan minuman alkohol tetapi juga akibat daripada penggunaan narkotik atau dadah. Oleh itu, sekiranya seseorang secara sengaja mengambil alkohol, narkotik, ubat-ubatan, atau dadah yang menyebabkan dia tidak sempurna akal , sehingga pada waktu dia melakukan kesalahan tersebut, dia tidak pun sedar akan perbuatannya itu, maka ia juga termasuk di bawah mabuk dengan sengaja. Oleh itu, di dalam keadaan ini Seksyen 84 kanun keseksaan boleh diguna sebagai dalihan.

Perkara ini perlu dibezakan dengan peruntukan Seksyen 85(2)(b) .  Seksyen 85(2)(b) menyebut seseorang yang mabuk boleh menggunakan dalihan di bawah seksyen ini sekiranya akibat daripada mabuk, telah menyebabkan dia “gila” semasa melakukan perbuatan itu.

Oleh kerana Seksyen 85(2) menggunakan perkataan “ATAU” iaitu 85(2)(a) “ATAU” (b), maka ia sebenarnya memberi pilihan untuk menggunakan salah satu dalihan, sama ada 85(2)(a) atau 85(2)(b). Walaupun, Seksyen 85(2)(a) jelas mengatakan mabuk dengan sengaja tidak boleh menggunakan dalihan mabuk, namun, Seksyen 85(2)(b) tidak pun menceritakan mabuk itu sama ada sengaja atau tidak, kerana yang disebut di dalam Seksyen 85(2)(b) adalah seseorang yang mabuk kemudian menyebabkan dia “gila” semasa melakukan kesalahan . Peruntukan ini seolah-olah menunjukkan seseorang yang mabuk dengan sengaja juga boleh menggunakan dalihan di bawah Seksyen 85(2)(b).

Namun, terdapat perbezaan yang perlu dinilai di dalam Seksyen 84 dan Seksyen 85(2)(b). Peruntukan Seksyen 85(2)(b) menggunakan perkataan “gila”  manakala Seksyen 84 menggunakan perkataan “tidak sempurna akal”.

Perkataan “gila” adalah terlalu terhad, kerana ia merujuk kepada keadaan mental yang perlu mendapat pengesahan doktor dan hospital. Namun, Seksyen 84 menggunakan perkataan yang lebih luas iaitu tidak sempurna akal. Tidak sempurna akal bukan bermakna gila, namun ia membawa makna keadaan pemikiran yang tidak berupaya untuk mengetahui keadaan perbuatannya sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang. Oleh itu, sekiranya seseorang yang mabuk dengan sengaja, lalu berlaku ketidaksempurnaan akal, dan menyebabkan beliau melakukan jenayah, beliau boleh menggunakan dalihan di bawah Seksyen 84.

Kesimpulannya, berdasarkan semua penilaian di atas, seseorang yang mabuk dengan sengaja sebenarnya memmpunyai hak untuk membela dirinya dengan menggunakan dalihan di bawah Seksyen 84. Di dalam Undang-undang Malaysia, minum minuman keras seperti alkohol bukanlah suatu kesalahan jenayah, oleh itu adalah tidak munasabah sekiranya disebabkan meminum alkohol seseorang melakukan jenayah, tidak berupaya untuk membela dirinya sedangkan beliau tidak sedar akan perbuatan tersebut. Sehubungan itu, kes AG for Northern Ireland v Gallagher , boleh dijadikan sandaran untuk membolehkan mabuk dengan sengaja menggunakan dalihan di bawah Seksyen 84. Mabuk dengan sengaja itu hendaklah tidak mempunyai niat untuk melakukan jenayah seperti yang berlaku di dalam kes AG for Northern Ireland v Gallagher, yang mana tertuduh tidak boleh menggunakan dalihan mabuk kerana beliau sengaja memabukkan diri untuk membunuh isterinya. Selain itu, mabuk dengan sengaja itu hendaklah menyebabkan tertuduh itu tidak sempurna akal, iaitu tertuduh tidak berupaya untuk mengetahui keadaan perbuatannya sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang semasa melakukan kesalahan tersebut. Seksyen 84 sendiri tidak menceritakan punca “tidak sempurna akal” namun apa yang dipentingkan adalah keadaan minda semasa jenayah dilakukan. Sekiranya seseorang yang mabuk dengan sengaja berjaya membuktikan bahawa semasa jenayah dilakukan, beliau berada dalam keadaan tidak sempurna akal, maka dalihan di bawah Seksyen 84 adalah terpakai. Akhir sekali, disebabkan Seksyen 85(2)(b) seolah-olah membenarkan seseorang yang mabuk dengan sengaja untuk menggunakan dalihan di bawah Seksyen 85, maka perbezaan yang perlu dinilai adalah perkataan “gila” atau “tidak sempurna akal”. Sekiranya ianya melibatkan keadaan “tidak sempurna akal” , maka dalihan yang tepat untuk digunakan adalah dalihan di bawah Seksyen 84. Secara keseluruhannya, seseorang yang mabuk dengan sengaja juga mempunyai hak untuk menggunakan dalihan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan di Malaysia.


MUHAMMAD NAIM BIN FITAL
FAKULTI UNDANG-UNDANG UKM




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...