Friday, March 7, 2014

Anwar Ibrahim 1998-2014



Sedari kecil aku sudah mengagumi kepimpinan beliau, seorang insan bergelar Anwar Ibrahim. Jiwa kepimpinannya begitu tinggi, insan yang sangat berkarisma dan bervisi. Tidak pernah gentar pada tentangan, malahan bangkit dan terus bangkit ! Benar, insan ini bukan orang biasa biasa - mungkin anda pernah mendengar Nelson Mandela, mungkin juga kenal Mahatma Ghandi, atau Sheikh Ahmad Yassin, mahupun Dr Morsi - mereka ini semua pemimpin yang hidup dalam kezaliman, bangkit menentang kuku besi, dipenjara dan dibelasah, namun semangat perjuangan tidak pernah padam.

Anwar Ibrahim, tahun 1998, ketika itu aku masih lagi berumur 5 tahun, tidak mengenalinya namun aku masih ingat, namanya disebut sebut. Tahun itu juga lambakan kaset rakaman ceramahnya dijual secara sembunyi ke serata negara. Aku tidak gentar untuk akui seawal usia 5 tahun aku sudah mula mendengar kasetnya dan ceramahnya walaupun aku tidak faham langsung apa yang berlaku. Pada ketika itu aku terdengar daripada perbualan orang tua-tua, kata mereka kaset ini perlu disimpan baik-baik, jika tidak akan ditangkap polis, bahaya! Namun aku sendiri tidak faham situasi sebenar, aku cuma takut untuk bercerita kepada sesiapa bahawa pada ketika itu aku sudahpun mempunyai kaset ceramah Anwar Ibrahim.

Tapi itu kisah 16 tahun dahulu, kini aku sudah 21 tahun, terlalu lama isu Anwar ini berlarutan! Beliau adalah insan yang paling banyak kes di Mahkamah. Bukan sekali namun berkali kali atas banyak pertuduhan. Mungkin sebelum akhir hayatnya Anwar perlu untuk menulis suatu Buku "The Great Prisoner".

Aku sangat sanjungi insan ini atas kepetahannya serta kebijaksanaannya. Aku tidak boleh terima jika dikatakan insan ini seorang peliwat malahan sejarah beliau diheret dan dihumban ke Mahkamah juga aku tak boleh terima. Terlalu banyak persoalan dan kelompongan yang wujud , sehingga ramai yang boleh meragui keputusan ini.

Aku sentiasa mengkaji perjalanan politiknya serta buah fikirnya dalam membentuk sebuah politik baru di negara ini. Benar beliau orang yang sangat berani berhadapan dengan kuku besi, malahan perubahan serta corak politik yang wujud sekarang inipun adalah atas buah fikir beliau yang sangat extra ordinary. Beliau sangat digeruni dan dianggap kekuatan utama Pakatan Rakyat. Isu kezaliman sentiasa bermain di bibirnya kemana sahaja beliau pergi.

Bukan mudah untuk menyatukan rakyat dalam satu komponen parti, bukan mudah juga pembangkang dapat bersatu, bukan mudah juga mempengaruhi rakyat untuk bersama pembangkang, namun benar insan ini punya kekuatan yang sangat luar biasa. 2008 benar-benar memberi kesan signifikan kepada Kerajaan tatkala corak pemilihan dan kepercayaan rakyat sudah beralih kepada pembangkang. Malahan tahun itu cukup terkenal dengan tahun "Tsunami Politik" . Selepas itu juga rentetan himpunan rakyat memenuhi ruang legar di negara ini, BERSIH, BERSIH 2.0, HIMPUNAN HIJAU, HIMPUNAN RAKYAT, TURUN dan pelbagai lagi himpunan membanjiri negara ini. Siapakah insan utama yang menjadi inspirasi gaya demokrasi ini? Aku yakin corak ini telah dibentuk oleh Anwar Ibrahim sejak dari zaman mahasiswanya di Universiti Malaya. Doktrin pemikiran ini telah bercambah dan meresap ke dalam jiwa remaja dan belia. Dari satu sudut aku melihat ini suatu gerakan yang positif dan demokrasi yang subur. Namun, dalam satu sudut aku melihat ianya sebagai budaya yang sangat tidak sihat dan kering.

Namun, dalam bercerita soal kebaikannya, pasti ramai juga yang membencirnya. Malahan orang yang pernah menjadi tulang belakang terkuat DSAI juga ramai yang sudah membelakanginya dan tidak mahu lagi bekerja bersama beliau. Jadi siapakah Anwar ini ?

Seorang peliwat ? Adakah beliau seorang peliwat, persoalan yang tiada nokhtah. Semalam Anwar dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun. atas tuduhan liwat. Isu liwat yang berpanjangan sejak daripada kes Sukma Dermawan! Kesemua tuduhan liwat anwar melibatkan orang-orang kepercayaan Anwar sendiri termasuklah Saiful Bukhari sebagai pembantu pribadi Anwar suatu ketika dahulu. Hairan, mengapakah orang-orang yang benar-benar rapat dengan Anwar yang merencatkan perjuangannya sendiri. Aku ibarat tersepit di antara ingin percaya atau tidak. Namun, dalam satu sisi yang lain, hairan sungguh, bagaiman insan bernama Saiful Bukhari ini sudi diliwat, malahan pertuduhan beliau dipaksa adalah suatu persoalan fakta yang secara jelasnya keadaan yang tidak masuk akal.

Aku percaya, di dalam politik apa sahaja boleh berlaku, saudara pun boleh berpecah belah inikan pula sekadar orang yang rapat dalam perjuangan. Duit dan harta habuan yang tiada tara. Aku tidak tahu benar atau tidak Anwar adalah seorang peliwat, namun, aku percaya segala usaha dan kospirasi untuk menghumban Anwar semula ke penjara ini pasti wujud. Bukan mudah berdiri dalam dunia politik.

16 tahun berlalu, cerita yang terlalu panjang untuk dirungkai satu persatu. Anwar berdiri atas bahu rakyat, kerana itu beliau melaungkan slogan Suara Rakyat. Jika tidak, Anwar sudah lama lenyap dalam pentas politik negara. Aku cuma menulis atas kapasiti Anwar dan bukan pakatan rakyat kerana aku tidak menyokong PR 100%. Apa yang aku nukilkan adalah sejauh mana aku mengagumi insan ini dari aspek buah fikir dan keberaniannya. Seorang pemimpin itu pasti bediri jika dipijak dan ditendang, dan beliau 1 dalam sejuta. Moga keadilan itu benar-benar terbela.





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...