Monday, April 28, 2014

Bersediakah Kita Alami Penjajahan Alaf Baru ?

( US President Barrack Obama with Malaysia Prime Minister DS Najib Tun Razak )


Malaysia seolah-olah sedang meniti sebuah episod perubahan seram tatkala kita dihujani beberapa siri peristiwa yang di luar kotak sangkaan kita. Tuhan sedang menguji Malaysia? atau rencana ini adalah hasil kesilapan dan kelemahan pemerintahan sedia ada. Allahualam.

Bermula dengan peristiwa duka MH370, ia sudah menggambarkan sebuah novel baru sedang direncana dalam negara ini. Bukan mahu mempolitikkan isu, namun selaku warganegara yang kian berkembang cara pemikirannya, ayuh kita rungkai dengan persepsi yang matang. Benar persepsi ini sekadar persepsi, namun tak salah membuat persepsi asalkan ia berisi kerana kita sentiasa dikelilingi dengan persepsi basi.

Biar apa pun alasan, kita perlu akui bahawa kuasa Tuhan bukan suatu yang boleh kita sangkal dan cabar. Apa yang terjadi benar atas kehendakNya, namun dalam memahami sikap dan rencana manusia, kita juga perlu berhadapan dengan permainan politik yang membolehkan apa sahaja berlaku tanpa kita duga. Siapa sangka, peristiwa MH370 itu ada kaitannya dengan kedatangan Barrack Obama ke Malaysia baru-baru ini. Kedatangan Presiden US ini juga suatu fenomena malahan misteri dalam Novel baru ini, kerana tidak disangka sangka seorang Presiden yang bertapak di White House sudi untuk singgah ke Malaysia sebuah negara kecil malahan mungkin dipandang sepi oleh US. Kenapa dan mengapa? Anda mungkin mengagumi tatkala beliau tiba ke Malaysia namun sopan biar bertempat, bukan adat tunduk dengan musuh. Jika anda singkap sejarah US dalam peta dunia, mereka adalah negara yang paling banyak melakukan kerosakan di muka bumi. US bukan kawan yang boleh dibanggakan. Mereka tidak menghunus pisau dari belakang atau depan, tapi senjata mereka begitu licik memakan semut macam kita semua.

Kedatangan mereka sudah pastinya demi menuntut DS Najib untuk menandatangani TPPA iaitu salah satu perjanjian bebas ekonomi dunia . Logik akalnya, jika perkara ini bukan suatu perkara yang penting buat US, kenapa mereka begitu gigih hadir ke sini demi suatu tandatangan iaitu TPPA. Permainan US yang tak pernah terhenti untuk mencari mangsa seterusnya kini beralih ke Malaysia. Mereka sentiasa berharap agar Malaysia tunduk mengikut rentak dan acuan penjajahan Alaf Baru. Hanya dengan TPPA mereka mampu untuk mencengkam sumber ekonomi negara malahan dengan ini sahajalah US akan dapat bersaing dengan kuasa besar ekonomi dunia sekarang iaitu China.

China? Apa kaitannya? Sedarkah anda satu-satunya negara Asia yang sudahpun mengorak langkah menjadi sebuah kuasa besar ekonomi dunia adalah China. Pergilah ke mana sahaja pelosok bumi ini hatta ke Mekah Mukarramah sekalipun anda akan melihat produk 'Made in China'. Benar, ini suatu realiti yang perlu kita akui. Jubah mahupun serban yang dijual di Mekah dan Tanah Arab itu sendiri kebanyakannya 'Made in China'. Malaysia sendiri berhadapan dengan situasi sama, bukan sahaja pakaian malahan telefon bimbit, laptop dan apa sahaja produk rata-ratanya dari China. Gergasi Tanah Besar China ini sudah layak digeruni oleh mana-mana negara besar terutamanya United States yang selama ini bermegah sebagai negara nombor satu dunia. 

Hakikat yang perlu untuk kita sama-sama sedar, US selama ini sekadar bertahan dengan pengaliran matawang seluruh negara ke Bank Dunia . Mereka adalah negara yang paling tiada hasil dan hanya bergantung kepada Bank Dunia untuk menjana pendapatan dan menguruskan ekonomi mereka. Namun pasaran ekonomi China jauh lebih baik berbanding US. Bukan itu sahaja, dari aspek ketenteraan, China kini bukan calang-calang negara yang boleh dipandang enteng oleh US kerana mereka sudah pun ke hadapan dalam pengaplikasian teknologi ketenteraan. Pendek cerita, sekiranya China isytihar mereka sebagai kuasa besar dunia, US pasti akan goyah dan terduduk di bumi sendiri kerana mereka sedar mehnah apa bakal menanti.

Sebab itu demi mempertahankan kedudukan mereka, US sanggup menggunakan apa sahaja cara demi memastikan kedudukan mereka tidak terjejas. Sebagai suatu langkah untuk menyekat perluasan kuasa China, hanya satu jalan yang mereka pilih iaitu perjanjian TPPA. Tahukan anda TPPA ini akan memberi ruang dan peluang untuk US mendominasi ekonomi negara kita. Segala produk dari US boleh dibawa ke Malaysia dengan mudah dan ia sekaligus memberi saingan kepada produk tempatan. Malahan, sekiranya mereka mendapati wujud beberapa premis syarikat di negara ini seakan akan menyamai perniagaan mereka, US mempunyai hak untuk mengenakan tindakan undang-undang dan boleh menyaman dengan jumlah yang besar. Mereka memberi ruang kepada kita untuk meluaskan pasaran di negara mereka sebagai suatu balasan dalam TPPA. Namun hendak mendabik dada biarlah kita ukur baju di badan sendiri, apalah yang ingin dibanggakan dengan Malaysia tatkala kita bercita cita ingin bersaing dengan produk dari Barat ini? Benarkah produk Malaysia mendapat tempat di US sedangkan dalam pasaran tempatan pun rata-rata masyarakat kita lebih mendahulukan produk dari negara Barat ini? Jika TPPA ini dibenarkan, alamatnya lingkuplah perniagaan IKS, lingkuplah perniagaan masyarakat tempatan yang terpaksa pula tunduk pada pasaran US.

Perkara yang lebih membimbangkan tatkala kita tidak pun boleh tahu tentang kandungan isi perjanjian TPPA itu. Jelas ini adalah permainan US yang begitu licik demi mencengkam kuasa ekonomi negara kita. Bukan niat hendak bersikap negatif, namun anda tanyalah diri sendiri, di manakah titik baiknya negara Amerika Syarikat ini tatkala mereka sudah lama menghentam negara-negara kecil di dunia ini malahan merekalah dalang kepada segala kezaliman yang berlaku di negara-negara Islam Timur Tengah. Kalau World Trade Center di negara sendiri sanggup mereka robohkan demi sebuah konspirasi dan agenda, inikan pula ingin tawan Malaysia yang bila-bila sahaja boleh mereka pijak. 

Apa kaitannya dengan MH370?  Anda mungkin marah jika saya mengaitkan peristiwa ini dengan teori penjajahan US . Namun, apa sahaja boleh berlaku kerana kita sedar, dalam memenuhi kehendak serakah US, pelbagai agenda boleh diatur. Di dalam kapal terbang itu adanya jutawan China malahan dalam suatu teori mengatakan terdapatnya aset besar China di dalam kapal terbang tersebut. Mungkin wujud agenda tersembunyi yang kita tidak tahu. Namun, apa yang berlaku sebenarnya menggambarkan kepada kita semua bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan ujian yang menakutkan kita semua.

Harapan saya kepada pemerintah sedia ada terutamanya Perdana Menteri DS Najib Tun Razak agar bertindak bijak berhadapan dengan segala desakan dan tuntutan daripada United States. Biarpun dia adalah Barrack Obama, namun rencahnya masih sama, US sejak zaman pemerintahan Bush adalah US yang tidak layak mendapat tunduk hormat daripada kita semua. Jangankan kerana sebuah nilai hubungan diplomatik, kita gadaikan seluruh isi perut warganegara Malaysia tercinta. Jangankan kerana kuasa dan habuan, kita korbankan nilai sebuah kebebasan dan kemerdekaan. Biar kecil di peta dunia, asalkan jangan takut pertahankan pertiwi. Demi sebuah negara tercinta, pertahankanlah hak kita bersama.

MUHAMMAD NAIM BIN FITAL
FAKULTI UNDANG-UNDANG UKM











 




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...