Thursday, August 28, 2014

Hormati Minggu Mesra Mahasiswa UKM Daripada Unsur Politik





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah masuk minggu kedua di UKM dan kini telah masuk fasa kritikal sementara menunggu ketibaan adik-adik baru ke UKM bumi tercinta. Atas dasar amanah dan kerja, saya terpaksa pulang 3 minggu lebih awal daripada pelajar-pelajar senior lain demi memastikan kerja-kerja sepanjang minggu orientasi pelajar baru berjalan dengan lancar. Tambahan pula saya terlibat sepenuhnya di bawah Urusetia Pengucapan Umum UKM iaitu kelab debat UKM, dan matlamat kami pada Minggu Mesra Mahasiswa kali ini adalah untuk menjayakan Debat Piala Naib Chanselor UKM seperti mana yang telah dianjurkan pada tahun-tahun sebelum ini.

Tatkala junior masuk ke UKM, maka hangat Pilihan Raya Kampus akan bermula dan pastinya jentera-jentera Pilihan Raya Kampus akan mula panas punggung serta tidak senang duduk menantikan adik-adik baru yang masih lagi "clean" daripada sebarang unsur politik kampus. Pastinya, sesetengah pihak melihat ini sebagai peluang untuk mencari ahli baru dan kekuatan baru dalam dunia politik masing-masing. Namun kata orang, menanam benih biarlah ditempatnya, jangan disemaikan bukan pada tanahnya, kerana kelak, pohon x tumbuh, benih pun rapuh.

Saya sendiri terlibat dalam mesyuarat bersama pihak atasan untuk perjalanan sepanjang Minggu Mesra Mahasiswa dan kami telah berbincang panjang berkenaan tentatif program serta perjalanan sepanjang minggu orientasi di UKM.  Beberapa syarat dan perkara telah kita bincangkan demi keselamatan dan kebaikan pelajar sepanjang berada di UKM. Matlamat MMM pada tahun ini adalah untuk menyemai rasa cinta pada pelajar baru terhadap UKM sebagai sebuah gedung ilmu yang cukup tinggi nilai intelektualiti dan daya saingnya di pasara glokal mahupun global. Hasrat MMM adalah untuk memberitahu pelajar bahawa UKM ini ditubuhkan bukan atas dasar ingin menyediakan tempat buat pelajar bergraduasi semata-mata, malahan ia adalah tempat memupuk rasa bertanggungjawab dan sayang akan negara serta bangga sebagai rakyat Malaysia. Elemen utama yang akan diterapkan adalah mendidik pelajar baru agar mempunyai semangat menjunjung Aspirasi Negara. Kita akan mengimbau sejarah bagaimana UKM ini terbina dan apakah ia sekadar sebuah tempat mendapat segulung ijazah atau ia lebih daripada itu? Sejarah membuktikan bahawa pejuang bahasa dan bangsa memerah keringat dan tulang empat kerat demi melihat tertubuhnya sebuah Universiti yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan disamping menjadikan agama sebagai nilai penting dalam pembentukan insaniah pelajar.

Sehubungan dengan itu, beberapa perkara kita harapkan agar tiada mana-mana pihak yang cuba untuk mencari peluang bagi mengedarkan apa-apa bentuk keratan kertas, iklan, brosur mahupun pamplet berkenaan gerakan politik anda di UKM sepanjang minggu orientasi. Hormatilah perkara ini sebagai tanda kematangan anda di UKM dan jangan sesekali cuba megeruhkan keadaan dengan mencetuskan apa-apa kenyataan yang membawa kepada pertelingkahan.

Biarkan segala perjalanan MMM ini dikendalikan oleh Pemudah Cara sama ada di peringkat Pusat mahupun Kolej demi kelangsungan pelajar baru di sini. Tiada sebarang pengedaran risalah politik dibenarkan dan ia adalah sama sekali tidak menghormati sistem gerak kerja MMM yang telah kami bincangkan bersama. Sekiranya terdapat juga apa-apa bentuk pengedaran risalah, saya berganggapan ia adalah suatu tindakan tidak matang dan tidak wajar daripada pihak terbabit. Pastinya saya akan terus mengupas isu ini di dalam penulisan saya agar umum tahu bagaimana sistem yang telah kita rancangkan ini dicabuli demi kepentingan sendiri.

Lazimnya ada perwakilan yang akan bertindak sebagai penganalisis program yang telah barisan PC bersama Pentadbiran sediakan. Lantaran itu, kritikan tidak membina akan dilemparkan sama ada di blog mahupun di Facebook atau mana-mana ruang di laman sosial. Jadi harapan saya buat perwakilan terbabit, jangan mempolitikkan keadaan, kerana sepanjang 2 tahun saya berada di UKM, beberapa program yang dijalankan pasti akan dipolitikkan dan dimanipulasikan. Sudahlah segala gerak kerja perjalanan Minggu Orientasi ini tidak langsung anda ketahui bagaimana ia bergerak dan berjalan, tidak pula terlibat dalam mesyuarat dan post moterm yang PC jalankan, tiba-tiba ingin bertindak sebagai Rule Maker yang sekadar tahu menunding jari. Jadi saya berharap agar perjalanan MMM tahun ini akan bebas daripada segala isu yang dipolitikkan demi kepentingan bersama.

Mana-mana pihak adalah bebas untuk berpolitik dan bebas untuk melakukan perbincangan demi survival politik masing-masing. Namun dalam konteks yang mudah, jangan libatkan minggu orientasi dalam survival politik. Rancangkan perkara yang lebih membuahkan hasil. Saya menulis atas kapasiti saya di pihak pusat dan saya mengetahui betapa kami berhadapan dengan masalah yang sukar untuk mengendalikan pelajar baru yang mencecah 4 ribu kemasukan pada kali ini. Pastinya ia adalah jumlah yang sangat besar, maka harapan saya agar semua pihak faham akan kerja dan tugas kami yang sekadar membantuk pihak Universiti demi memastikan kelancaran kemasukan pelajar-pelajar baru.

Sekian terima kasih.




3 comments:

cik karmila said...

gud j0b seni0r...can't wait f0r ukm...so0n i'll be there..

Anonymous said...

MMP ke MMM.

orientation is supposed to be fun, interactive. a well-welcoming ceremony, and yang paling penting, INSPIRATIONAL :)

all the best!

Naim said...

hye and welcome to UKM!

MMP adalah nama lama dan kini telah bertukar kepada MMM :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...