Sunday, August 31, 2014

Pakatan Rakyat Bukan Parti Yang Wajar Diteladani








Bercakap soal parti, saya amat kesal dan kecewa dengan Pakatan Rakyat yang mempunyai jiwa besar memimpin negara dengan 3 Parti berbeza di bawahnya. Membawa slogan Reformasi demi hak rakyat telah membawa Pakatan Rakyat kehadapan berbanding Barisan Nasional pada PRU yang lepas. Meskipun Pakatan Rakyat masih lagi gagal memenangi 2/3 kerusi di Parlimen namun secara undi popular, Pakatan Rakyat telah pun mendahului Barisan Nasional.

Namun, itu kisah yang lalu yang wajar kita kaji dan selidik apakah rentetan cerita selepas tamatnya PRU13. Benarlah orang kata, sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Strategi dan permainan poilitik Pakatan Rakyat jelas mendukacitakan semua pihak terutamanya golongan muda yang amat berminat dengan corak politik yang dibawa PR. Kini, satu demi satu masalah dalam PR terserlah dan dipaparkan di media baik media sosial mahupun konvensional. PR bukan lagi parti yang dihormati dan disegani dek kerana masalah yang terlalu banyak berlaku dalam pimpinan mereka.

Krisis Air di Selangor yang berpanjangan adalah detik-detik awal melihatkan kegagalan PR dalam memerintah negeri tersebut apabila telah memegang Selangor sejak 2008 lagi. Namun, isu air itu sering kali ditutup dengan isu bayaran bil air di Selangor yang begitu murah berbanding negeri-negeri lain di dalam Negara. Malahan, Selangor di bawah pimpinan Khalid Ibrahim telah berjaya meraih keuntungan negeri yang terbanyak sepanjang pemerintah negeri tersebut. Ini semua melihatkan rencah kejayaan PR di Selangor yang telah berjaya mendapatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan mereka. 

Namun, konflik dalaman PR begitu menebal sehingga memaksa mereka bertikaman sesama sendiri dan sering gagal mencapai kata putus terhadap sesuatu isu. Bermula dengan Langkah Kajang yang jelas memperlihatkan masalah berlaku di dalam Pakatan Rakyat tatkala calon DAP menarik diri secara tiba-tiba lalu ia terus berlarutan hingga ke hari ini dalam isu Perletakan Jawatan Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dan isu nepotisme Anwar Ibrahim serta sifat pentingkan diri dalam kalangan ahli PR. Adakah kita masih lagi beranggapan pimpinan PR adalah pimpinan yang membela nasib rakyat ? Atau mereka menjadikan kita sebagai boneka untuk memenuhi periuk nasi mereka?

Permainan politik PR semakin hari semakin melihatkan belang mereka yang sebenarnya. Kononnya membawa slogan Harapan Rakyat namun ia sebenarnya adalah sebuah parti yang bernaung semata-mata untuk memenuhi kehendak Anwar Ibrahim. Akhirnya, perjalanan politik mereka kesemuanya berkiblatkan Anwar Ibrahim meskipun sesuatu keputusan itu dikatakan tidak wajar untuk diterima. Saya percaya, ramai dalam kalangan golongan masyarakat khususnya belia sudah mula muak dengan permainan politik PR yang tidak lagi membawa aspirasi rakyat namun ia adalah aspirasi Anwar semata-mata.

Ayuh, bangkitlah daripada sebuah helah yang telah sekian lama mengaburi mata kita semua. Benar, saya menyokong hasrat Pakatan Rakyat untuk menjadi sebuah kuasa politik yang kuat dan adil buat semua rakyat. Namun, kini, PR dilihat sebagai sebuah parti yang sekadar bermodalkan publisiti murahan dan sekadar melemparkan masalah-masalah yang sama dari dahulu hingga kini tanpa menunjukkan sebarang pembaharuan dalam PR itu sendiri. Yang hairannya, PR kini lebih memalukan tatkala ketiga-tiga parti DAP, Keadilan dan Pas sudah tidak lagi menunjukkan permuafakatan seperti mana yang mereka banggakan.

Pas ibarat berada dalam bayang-bayar PR sedangkan saya berpendapat Pas mampu berdiri atas kaki sendiri dan kekal dalam perjuangan menegakkan daulah Islamiyah ! Hasrat Pas menyertai PR hanyalah semata-mata untuk mengangkat seruan Tahalluf Siyasi namun kini, ia dilihat tidak langsung menguntungkan Pas? Sudahlah DAP jelas dari dahulu hingga kini tidak boleh menerima Hudud untuk dijalankan dalam Negara ini, namun Pas masih lagi mengatakan DAP sebagai rakan politik mereka dalam perjuangan menegakkan keadilan. Namun, keadilan jenis apakah yang mereka nyatakan? Adakah Pas berjaya mendominasi PR dalam membawa perubahan yang lebih baik kepada Islam itu sendiri atau pada akhirnya Pas ini adalah sekadar sebuah parti politik yang lemah dan tidak mampu untuk keluar dari bayang-bayar PR mahupun Anwar Ibrahim.

Apabila ditanya mengapa Pas tidak mahu bersatu dengan UMNO dan bergerak dalam komponen politik yang sama, maka jawapan yang diberi adalah kerana sejarah lalu menunjukkan penyatuan mereka dengan UMNO telah dicabuli oleh UMNO kerana tidak memberikan mereka kerusi untuk bertanding. Kini, apakah hak mereka tidak dicabuli? Walaupun Pas adalah parti yang mendominasi Selangor iaitu sebanyak 15 kerusi, namun mengapa Anwar Ibrahim masi lagi menjadi penentu kepada corak politik di Selangor? Langkah Kajang dengan mudah meletakkan dirinya sendiri yang sudahpun memegang Adun Permatang Pauh untuk bertanding di Kajang. Untuk apa semua ini ? Adakah ia menunjukkan PR sebenarnya ketandusan ahli politik yang layak untuk bertanding atau ia adalah atas dasar kepentingan pribadi Anwar Ibrahim. Apabila isu liwat ini dibawa ke Mahkamah, Anwar Ibrahim meletakkan pula isterinya Wan Azizah sebagai pengganti di Kajang tanpa meletakkan justifikasi yang jelas mengapa tidak diletakkan calon lain yang lebih relevant untuk bertanding. Hairan sungguh tatkala Pas telah pun menjadi parti yang kuat dan berpengaruh di Selangor, pimpinan PR masih lagi menafikan kredibiliti pimpinan Pas untuk bertanding di Kajang. Bukankah ini suatu penafian hak yang jelas dilakukan oleh pimpinan PR?

Kini, dalam isu pencalonan Menteri Besar di Selangor, kepimpinan PR meletakkan Wan Azizah sebagai pengganti kepada Khalid Ibrahim. Keadaan ini amat hairan kerana Anwar Ibrahim dilihat telah merancang semua ini untuk menaikkan isterinya sebagai MB di Selangor. Tidakkah ini suatu keadaan yang amat menyedihkan tatkala Wan Azizah bukanlah berasal dari Selangor dan tidak sampai satu tahun duduk di dalam Adun Selangor, kini PR meletakkan beliau pula sebagai MB di Selangor !

Apakah calon PAS tidak berkelayakan untuk berada di kerusi MB?  Hairan, mengapa dalam keadaan ini Pas boleh menerima penafian hak yang dikenakan terhadap mereka sekarang, sedangkan apa yang berlaku dalam UMNO suatu masa dahulu adalah keadaan yang sama. Apakah Pas ini sudah menjadi parti yang takut akan Anwar Ibrahim sehingga gagal menjadi parti yang berani dalam menegakkan yang haq? Apakah kekuatan Pas sebenarnya? Saya lihat Pas ini terlalu takut dengan kekuatan mereka sendiri sehingga sanggup menjadi tulang belakang PR yang tidak pun menguntungkan mereka.

Sudahlah Anwar secara tiba-tiba jatuh hukum terhadap Khalid Ibrahim dengan mengetepikan beliau dari kerusi MB, kemudian secara mudahnya mencalonkan Isterinya pula. Apabila pertikaian ini dibangkitkan oleh masyarakat, mereka menyatakan bahawa ini adalah keputusan pimpinan atasan parti. Isunya, siapakah pimpinan atasan parti kalau bukan Anwar Ibrahim, isterinya dan anaknya? Jadi apakah ini sebuah parti yang memperjuangkan hak rakyat atau ia telah mempermainkan harapan rakyat?

Jika Pas boleh untuk melabelkan UMNO sebagai parti yang telah menipu mereka, kenapa mereka boleh bergabung dengan DAP yang secara jelasnya menolak prinsip Pas? Malahan, DAP pernah menyatakan bangkangan terbuka terhadap Hudud seperti yang disebut oleh mendiang Karpal Sing, cross my dead body! Mengapa Pas tidak pernah menilai penentangan yang dibuat oleh DAP dan mengapa UMNO yang kini komited membawa perubahan dalam negara tetap dianggap sebagai musuh kepada Pas? Jawapannya mudah, iaitu Pas tidak berani menerima kenyataan bahawa mereka telah dipermainkan oleh PR. Mereka masih lagi menganggap DAP dan PKR adalah rakan juang politik yang patut dipertahankan meskipun hak mereka diketepikan. Pas tetap tidak mahu bergabung walaupun wujud usaha-usaha daripada sesetengah ahli parti dari pihak UMNO dan Pas untuk menyatukan kedua-dua parti ini. Namun, kiblat perjuangan Pas telah mengikut Anwar Ibrahim dan bukannya apa yang disarankan dalam agama untuk bersatu padu sesama muslim dan membawa perubahan yang besar dalam negara Islam.

Kini PR mengatakan bahawa kemelut yang berlaku dalam PR adalah sebuah kemelut biasa dan ia adalah keputusan parti. Mereka mendakwa PR adalah parti yang telus dan berani mengambil risiko terhadap sesuatu keputusan meskipun ia dilihat tidak menguntungkan mereka. Namun mereka terlupa bahawa mereka telah menunjukkan kepada rakyat bahawa PR yang terdiri daripada DAP, PKR dan Pas sebenarnya tidaklah bersatu padu malahan bertelagah antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah kalau saya katakan sokongan terhadap PR kini semakin menurun dan merudum kerana mereka telah mengkhianati harapan yang rakyat berikan.

Harapan saya terhadap PR jauh meleset daripada apa yang saya harapkan. PR bukanlah sebuah parti yang wajar diteladani oleh masyarakat secara kesemuanya. Ia adalah sebuah parti yang didokong oleh fahaman liberal dengan mengangkat kebebasan dalam semua aspek. Mereka menggunakan slogan Harapan Rakyat sebagai umpan paling berkesan untuk menarik perhatian masyarakat. Namun, harapan ini adalah sebuah penipuan dan pengkhianatan yang amat menyedihkan. Ia adalah harapan Anwar Ibrahim yang dari dahulu hingga kini masih tidak pernah padam sifat dendam beliau kepada kerajaan. Maka, sebab itulah PR yang kita jangkakan akan menjadi orang kuat rakyat kini hanya menghabiskan masa mereka dengan bertikaman sesama sendiri demi agenda tersendiri. PR sudah tersasar daripada apa yang mereka perjuangkan dan ia membuka mata ramai pihak untuk menilai sendiri masalah yang wujud dalam pentadbiran mereka.

Demi survival Malaysia dan keamanan negara, kita perlu komited melakukan pembaharuan dalam negara kita. Malaysia tanah air tercinta adalah milik setiap insan. Memelihara negara adalah tanggungjawab bersama.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...